Monday, July 12, 2010

DAKWAH BUKAN TUGAS USTAZ/USTAZAH SAHAJA

Bentuk gambaran yang tipikal ini serta sempitnya dimensi dakwah seperti yang digambarkan, membuatkan kerja dakwah seolah-olah hanya dimiliki oleh golongan yang mempunyai ilmu agama semata-mata. Golongan ini atau panggilan rasminya golongan agama atau ustaz adalah golongan yang selalu dibebankan dengan permasalahan dakwah dan penyebaran risalah dakwah ini.

Tanggungjawab mempersembahkan ajaran Islam dalam apa jua bentuk dan memperkenalkan Islam dengan wajahnya yang tulen kepada manusia sejagat adalah tugas hakiki yang harus dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh seluruh umat Islam.

Jika kita membuka dan menyorot isi kandungan al-Quran, terdapat banyak sekali nas yang menyentuh persoalan dakwah serta tanggungjawab umat Islam dalam menjayakannya.

Antaranya firman Allah yang mafhumnya, Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Ali-Imran: 104)

Inilah tiga unsur dan elemen penting terkandung dalam gerak kerja dakwah yang dijana dan dipaksikan kepada kekuatan keimanan kepada Allah s.w.t.

Tanpa paksi dan janaan iman, penghayatan terhadap dakwah akan menjadi rapuh dan luluh seperti rapuhnya iman dan luluhnya takwa kepada Allah s.w.t.

Dakwah yang dirintis oleh seorang Muslim bukan sahaja satu usaha untuk menyampaikan risalah Islam kepada khalayak bahkan merupakan satu terjemahan yang jelas terhadap ketinggian keimanan seseorang itu kepada Allah.

Persoalan inilah yang pernah dititipkan oleh Rasul pembawa risalah dalam sebuah hadisnya yang sahih lagi masyhur. Sabda Nabi s.a.w yang mafhumnya, Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya (kuasa yang ada pada seseorang) jika dia tidak mampu maka ubahlah ia dengan lidahmu, jika dia tidak mampu maka gunakanlah hatinya (dalam membenci dan tidak meredai berlakunya kemungkaran itu) dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kemampuan seseorang itu dalam mencegah kemungkaran - salah satu dari unsur penting dalam dakwah - diukur bersama dengan tahap keimanannya kepada Allah s.w.t.

Di tengah-tengah realiti masyarakat hari ini yang diselubungi dengan segala macam kefasadan dan kerosakan yang ditandai dengan terhakisnya penghayatan umat terhadap ajaran Islam. Lalu menumbuhkan dan menerbitkan barah keruntuhan moral dan akhlak walaupun di sebalik itu terlihat kilauan kemajuan dan ketamadunan yang mempesonakan.

Hari demi hari, keadaan umat dilihat tidak menampakkan kemajuan dari segi penghayatan agamanya yang mengundang kekhuatiran dan kebimbangan kepada mereka yang sentiasa mengambil berat nasib umat ini.

Gaya hidup manusia yang mendaulatkan materialistik dan bertuhankan hawa nafsu semata-mata telah mencampak jauh prinsip ketauhidan kepada Tuhan yang satu. Apa yang paling membimbangkan rosaknya akidah umat yang membawa kepada kemurtadan yang merupakan jenayah yang paling besar terhadap agama.

Kunci kepada segala permasalahan ini adalah kegagalan semua lapisan umat untuk menghayati ajaran Islam yang sebenar serta kecuaian umat dalam menggalas tugas sebagai daie ilallah penyeru kepada agama Allah.

Kegagalan institusi masyarakat dalam membimbing masyarakat berpandukan ajaran Islam serta kecuaian pihak-pihak yang berwajib menyediakan persekitaran yang membenihkan rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Maka kegagalan dan kecuaian yang berpunca dari kelesuan dalam menghayati dakwah inilah yang membawa kepada kesan negatif kepada umat keseluruhannya.

Oleh yang demikian setiap entiti masyarakat perlu bangkit dari kelesuan ini. Seterusnya menyusun usaha dalam menghayati dan melaksanakan tugas dakwah berpaksikan kepada kekuatan, kapasiti dan dimensi kemampuan masing-masing.

Semangat dan roh dakwah seperti inilah yang telah menyerap dalam urat nadi dan hembusan nafas generasi awal Islam hasil didikan langsung yang diterima dari Rasulullah s.a.w. Mereka menjadi umat yang terbaik dalam sejarah umat manusia di atas keimanan yang teguh berserta ketinggian penghayatan mereka terhadap dakwah dan risalah nabawi.

Akhirnya marilah kita merenungi firman Allah yang bermaksud, Telah dilaknat orang-orang kafir dari bani Israil di atas lidah Daud dan Isa bin Maryam yang disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka perbuat. (Al-Maidah: 78-79)

Sunday, July 11, 2010

PEMBUKA BICARA


Salam...
Laman ini dibina khas untuk Panitia Pendidikan Islam Smk Cheras bagi tujuan perkongsian maklumat dan menyahut cabaran semasa yang dilitupi alam kecanggihan sains..
semoga laman ini dapat memberi banyak kebaikan kepada semua khasnya umat Islam..
walau bagaimanapun, laman ini masih dalam proses pembinaan dan pembaikan...Salam perjuangan..

Dengar Quran Online

BICARA MUTIARA

 Ukhuwah itu               
 tidak terletak pada pertemuan ....
 Bukan pada manisnya ucapan di bibir... 
 Tetapi pada ingatan seseorang 
 terhadap saudaranya didalam 
 doanya....

 Ilmu yang hakiki itu ialah yang 
 memberi keyakinan bahawa maksiat 
 itu racun yang membunuh dan bahawa 
 akhirat itu lebih utama daripada 
 kehidupan dunia.   

 Ketahuilah kiranya kebahagiaan 
 orang yang dikuasai oleh kemalasan, 
 maka beratlah mereka untuk berjuang, 
 berlatih dan bekerja untuk sucikan 
 diri dan akhlak.

 Barangsiapa yang menghabiskan waktu 
 berjam - jam lamanya untuk mengumpulkan
 harta kerana takutkan miskin, 
 maka dialah sebenarnya orang 
 yang miskin.

    aisyahanis23








GALERI PERSATUAN AGAMA